Nasib Perempuan…

KETIKA mengambil keputusan untuk berumah tangga, pastinya seorang wanita mengimpikan suami yang boleh mendampingi dan melindungi mereka sepanjang hayat.

Saat akad dilafazkan, mereka bukan lagi di bawah tanggungjawab ibu bapa, sebaliknya berkongsi hidup bersama lelaki bergelar suami untuk mengharungi suka duka alam perkahwinan.

Pasti bahagia jika memiliki suami penyayang dan memahami keadaan diri serta sering bertolak ansur, malah bertimbang rasa dalam semua keadaan.

Namun, tidak semua isteri bertuah dikurniakan suami sebegitu kerana sesetengah daripada mereka hidup dengan menjeruk perasaan apabila bersuamikan si panas baran.

Sudahlah terpaksa menahan telinga mendengar maki hamun, jerkahan dan kata-kata kesat, tubuh pula seakan-akan menjadi ‘punching bag’ tatkala si suami hilang pertimbangan.

Dipijak hanya kerana minta untuk dipicit, dicakar kerana tidak mahu melayan nafsu dan dibelasah angkara sifat cemburu suami antara kes keganasan rumah tangga yang sering menghiasi dada akhbar.

Jika dilihat penyebab yang meletuskan perasaan marah itu, kebanyakannya hanya berpunca daripada perkara kecil yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran kita ia boleh menjadi punca utama.

Terlintas juga di fikiran, adakah lelaki bergelar suami kini semakin menipis kesabarannya dan kurang kewarasan apabila diselubungi kemarahan.

Lebih membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan demi peningkatan kes keganasan rumah tangga saban tahun dengan jurang besar.

Pada 2006, sebanyak 463 kes dilaporkan membabitkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan meningkat kepada 517 kes pada 2007, 513 kes (2008), 502 kes (2009) dan 663 (2010).

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Fadzil Che Din berkata, individu panas baran ini jika dilihat daripada luaran sama seperti orang lain dan berada dalam keadaan stabil, namun mereka ini boleh dilabel sebagai bom jangka yang boleh ‘meletup’ secara tiba-tiba.

Apabila rangsangan diberi, lebih-lebih lagi yang tidak ‘kena’ di mata mereka, ia akan disusuli tindakan agresif, baik secara verbal mahupun perlakuan fizikal.

“Panas baran ini sebenarnya berkait rapat dengan kelakuan, di mana mereka disifatkan sebagai individu sensitif dan mudah tercuit apabila berlaku sesuatu yang tidak seperti mereka harapkan.

“Faktor kelakuan merangkumi tabiat, kelangsangan, ajukan atau tiruan dan gerak balas baru yang akhirnya menjurus kepada tingkah laku agresif yang menyakitkan, mencederakan dan memusnahkan,” katanya.

Daripada segi pemikiran, golongan panas baran sering berdepan kekeliruan dan pemikiran tidak rasional sehingga adakalanya gagal membuat pertimbangan sewajarnya.

“Mereka gemar meletakkan harapan tinggi pada sesuatu perkara dan cepat merasa kecewa apabila apa yang diharapkan tidak menjadi.

“Daripada perasaan itu akhirnya membawa kepada perasaan marah, seterusnya mencetuskan perlakuan agresif daripada segi percakapan dan kelakuan,” katanya.

Sama ada kita sedar atau tidak, semua orang terdedah kepada risiko menjadi panas baran kerana banyak faktor boleh ‘mengheret’ seseorang ke arah itu.

Pernah tinggal bersama si panas baran atau menjadi mangsa golongan itu adalah faktor persekitaran yang boleh mencambahkan benih panas baran dalam diri seseorang.

Pengalaman dan pemerhatian mereka mencetuskan sifat kelaziman, yang mana keadaan itu menjadi kebiasaan kepada mereka dan meneruskan perlakuan itu kepada individu yang boleh ditindas.

Jika ada yang mengatakan sikap panas baran hanya dimiliki golongan muda, faktor usia sebenarnya tidak memberi jaminan atau penentu.

Keadaan ini membabitkan dua golongan iaitu yang menindas dan tertindas. Lazimnya golongan yang menindas ini mempunyai kelebihan berbanding individu ditindas.

“Individu panas baran biasanya lebih tua, kuat, tinggi, besar dan bertenaga berbanding individu yang ditindas, sekali gus membuatkan mereka lebih dominan.

“Mereka merasakan mampu mengatasi individu lemah dan di sinilah elemen kelaziman itu diguna pakai sehingga tanpa sedar mencederakan orang lain,” katanya.

Sikap panas baran boleh diubati dengan mengikuti sesi kaunseling, di mana sistem pemikiran si panas baran akan diubah supaya dia boleh mengawal segala perilakunya.

Mereka dilatih cara menyempitkan jurang antara perkara yang diharapkan dan yang diperoleh dan belajar untuk menerima keadaan yang tidak diharapkan.

Kunci utama untuk memulihkan si panas baran adalah daripada pemikirannya kerana ia mampu mempengaruhi perlakuan mereka daripada bertindak di luar batasan.

Bagi mangsa individu panas baran, mereka mempunyai tiga jalan penyelesaian yang boleh dipilih untuk berdepan golongan ini iaitu bersemuka, meneruskan hidup dalam keadaan itu dan mengelakkan diri daripada bertemu individu panas baran.

“Mengambil langkah bersemuka dengan si panas baran boleh dikatakan langkah berani untuk menegur atau meluahkan rasa tidak puas hati kepada mereka dengan harapan mampu mengubah sikap mereka.

“Jika tidak mempunyai kekuatan, mereka perlu menghadapi keadaan itu dengan cuba ‘membaca’ emosi dan perlakuan si suami dan mengelak melakukan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan mereka,” katanya.

Sikap panas baran perlu diatasi dan diubati kerana jika dibiarkan bukan hanya boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan tetapi juga boleh memberi kesan kepada masyarakat, termasuk aktiviti jenayah, kes penderaan dan perlakuan mencederakan orang lain.

Sementara itu, menurut peguam syarie firma guaman Fadhlina Siddiq & Associates, Fadhlina Siddiq, isteri perlu proaktif dalam melindungi diri sebaik mendapati dirinya menjadi mangsa penderaan.

“Apabila sering dipukul, ditampar mahupun disepak terajang oleh suami, isteri perlu sedar mereka harus mendapatkan perlindungan daripada pihak berkaitan.

“Langkah segera seperti mendapatkan laporan perubatan dan polis dalam tempoh 24 jam sangat perlu bagi memperoleh injuksi perintah perlindungan interim (sementara) (IPO) daripada Mahkamah Sivil.

“Secara tidak langsung, keselamatan diri mereka lebih terjamin kerana dengan adanya IPO, suami tidak boleh menghampiri mahupun mendatangkan kecederaan sehingga kes selesai.

“Jika suami masih mendekati isteri, mereka bakal berdepan tindakan mahkamah,” katanya sambil menegaskan, semua tindakan termaktub di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1999 (Akta 521).

Fadhlina turut menyarankan isteri bertindak tegas dengan tidak menarik kembali aduan dikenakan kerana dibimbangi akan menyebabkan pelaku mengenakan penderaan lebih teruk terhadapnya.

“Kadangkala, kami selaku peguam syarie berdepan dilema isteri menarik dakwaan dalam usaha membantu mereka.

“Saya tidak pasti mengapa mereka sanggup menarik balik dakwaan dan kembali kepada pasangan meskipun cukup masak dengan panas baran suami.

“Malah, mereka sedia maklum risiko dan bakal berdepan kesan penderaan lebih buruk,” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata, keprihatinan masyarakat juga diperlukan bagi menangani isu penderaan suami terhadap pasangan daripada terus berleluasa.

“Masyarakat hari ini lebih senang memekakkan telinga dan membutakan pandangan kerana tidak mahu dikatakan mencampuri urusan rumah tangga orang lain.

“Ini berdasarkan pengalaman saya yang pernah berurusan dengan kes di mana saksi daripada jiran pasangan mendakwa sudah jelak mendengar raungan isteri yang didera saban tahun.

“Saya berharap masyarakat lebih prihatin sebaik mereka fikirkan nasib menimpa isteri mahupun anak kepada lelaki yang panas baran,” katanya yang juga Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia.

Harian Metro

 

Advertisements

::Pendapat/Comment::

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s