~Pulangkan Jika Tak Suka~

KALAU TAK SUKA, KALAU BURUK, PULANGKAN……

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya  petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut
terdiam bila  mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.

Dia yang  mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian
terdengar  hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah!  Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat!
Tutup paip  tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan
tawa  anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain  baju berselerak. Apa
awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya  kembali bila isterinya
terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.

“Fail saya kat depan tu mana?”

“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh  tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail
tu  patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di
hati  kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi  kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh
berbeza. Dia  tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.
“Laila” Keluhnya  Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————————-

“Saya nak ke out station minggu depan.”

“Lama?” Soal Laila.

“Dalam seminggu.”

“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”

“Budak-budak? “

“Ikut jugalah.”

“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”

“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya  sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya
tak mungkin  berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa
Amirul  terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih
kecil benar  sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan
itu malahan  pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”

“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah  seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar
ke kampung.  Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya
berkecil hati.  Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di
pengkarangan rumah  nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah
bergegas semula untuk  pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab
lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”

“Manalah saya ada masa..”

“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.

“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.

Tahukah  bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu?
Bukan..bukan  tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan
pilihannya. Dunia  akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..

“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

———————————————————————————-

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

“Awak masak apa?”

“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.

“Keluar!”

“Mama dah masak Pa!”

“Awak saja makan!”

“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”

Laila  tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai
mengambil  hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati
langkah  papanya keluar dari ruang makan.

“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”

“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”

“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”

Kata-kata  Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila
menjeling. Di  hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya
hingga menjamah  nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

“Laila..” serunya

“Sudahlah  tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat
kita  tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni
sakit kau  nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni mak,”

“Lama-lama kau biasalah.”

Airmatanya  menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa
terhukum. Hampir  segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia
rasa terluka.  Kehilangan yang amat sangat.

———————————————————————————-

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”

“Tak ada lah?”

“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman  termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika
kemudian rumah  kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang
bertiga itu  mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi
hidangan minum  petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.

“Awak tak sihat ke?”

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi  tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan
berisi kopi  yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman
tercegat.

“Tengok!  Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu
tak tumpah  tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk
ketakutan. Baju  mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat  hingga anak kecil itu mula menangis.
Pantas saja akhbar di tangannya  hinggap ke kepala anaknya itu. Laila
cuba menghalang tapi dia pantas  dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman
di pukul lagi. Amirul menangis.  Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila  bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam
pelukkannya.  Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat
kekasaran suaminya  terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan

“Macamana  awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya?
Tengok anak  orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam
ni. Panjat  sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi  meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya
anak itu tak  pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di
matanya. Ada  saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri.
Tak cukup  dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan
kata-kata yang  bukan-bukan terhadap mereka.

———————————————————————————–

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.

“Abang!”

“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.

“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”

Alangkah  mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa
seperti Laila.  Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas
hati. Laila tak  pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang
usia perkahwinan  mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang
dia beri. Laila cuma  dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk
mendapat gred yang lebih  baik dari A.

“Laila”

—————————————————————————————————-

“Papa  nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil
menjeling ke  cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.
“Wangi-wangi lagi.  Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat  makan-makan untuk
staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja  batiknya.

“Ikut boleh?”

“Dia tak ajak family. Staff only!”  Terangnya sedangkan difikirannya
terfikir lain. Kali ni dia akan pergi  ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi
akan turut menumpangkan Maria dan  Harlina. Staff yang masih muda dan
bujang.

“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “

“Papa pesanlah..”

“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.

“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”

Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”

“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”

“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk

“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka  dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang
membawa keluarga  mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan
sedangkan  hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal.
Semeja  hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain 
tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi  sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun
nakal tapi  amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak
kena bila  bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan
tentang  anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila.
Bimbang  dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan
Laila  tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang
Laila cuma  perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita
yang lain.  Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan
isteri dan  anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi  itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah.
Semata-mata bila  Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di
meja makan  menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya
tiba-tiba  menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan
perebutan itu  tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..

Matanya  berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti
selalu.  Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin
untuk  menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila
mengesat  airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia
terpandang  hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih
penuh di cawan.  Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak
dijamah. Bekal di  dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak
pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”

Kali  ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak
pulang  selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat
anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan
  lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya 
bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak 
bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat 
rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang 
terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.

Laila  pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka
dirempuh sebuah  kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa
meninggalkan satu pun  untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman,
Amirul dan zuriat yang bakal  dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila  menatap wajah lesi anak-anak dan
isterinya. Dia meraung memeluk tubuh  Laila yang berlumuran darah.
Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu,  lapuk bagaimana pun dipandangan
harganya tak terbanding, dan kerana  keengganannya Laila dipulangkan…

Advertisements

::Pendapat/Comment::

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s